ZURAIDA. FOTO Arkib Reuters
ZURAIDA. FOTO Arkib Reuters
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Datuk Zuraida Kamaruddin masih kekal sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sehingga ditentukan Perdana Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Ampang itu mengenai peletakan jawatan sebagai menteri tidak menyatakan secara jelas status jawatannya dalam Kabinet.

Menurutnya, Zuraida hanya memaklumkan dia akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik selesai tugasan di luar negara.

"Perdana Menteri masih belum buat sebarang keputusan kerana perbincangan antara mereka belum lagi diadakan.

"Jika Perdana Menteri minta dia (Zuraida) untuk tunggu dulu (tidak lepaskan jawatan), jadi dia masih kekal dalam Kabinet," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Zuraida hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri dan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersama beberapa ahli PKR menyertai Bersatu selepas berlaku konflik politik menerusi 'Langkah Sheraton' pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 6:06 PM