HISHAMMUDDIN dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong (kanan) pada sidang media hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
HISHAMMUDDIN dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong (kanan) pada sidang media hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan perkara itu apabila ditanya media sama ada kedudukan Zuraida terbabit antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Tidak dibincangkan (kedudukan Zuraida sebagai menteri)," katanya ringkas pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Sementara itu, Zuraida dilaporkan dilihat hadir mesyuarat Kabinet pada jam 9.40 pagi tadi dan masih menjalankan tugas di kementerian seperti biasa dan agenda membanteras isu dakwaan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit negara tetap menjadi keutamaan biarpun kedudukannya sebagai menteri Kabinet masih belum diputuskan.

Semalam, media melaporkan Zuraida dalam keadaan bersedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.

Zuraida turut menegaskan yang beliau akan melepaskan jawatannya sebagai menteri jika diarahkan oleh Perdana Menteri.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 5:18 PM