Bapa mangsa mendukung anaknya yang menangis ketakutan selepas kepalanya tersangkut pada jeriji pintu dapur di Taman Krubong Jaya hari ini. Foto JBPM Melaka
Bapa mangsa mendukung anaknya yang menangis ketakutan selepas kepalanya tersangkut pada jeriji pintu dapur di Taman Krubong Jaya hari ini. Foto JBPM Melaka
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan diselamatkan selepas kepalanya tersangkut pada jeriji pintu dapur, di Taman Krubong Jaya, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu bermain di jeriji berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum disedari bapanya yang menghubungi bomba.

Difahamkan, bapa mangsa terpaksa mengampu kepala anaknya dan mententeramkan kanak-kanak yang menangis ketakutan sehingga bomba tiba.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azhar Sehat berkata, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 1.36 tengah hari.

Katanya, kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan 13 minit selepas itu.

"Mangsa yang tidak cedera kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 3:51 PM