Zaid Salim


Kuala Terengganu: Tuan Romzi Tuan Razali, 51, nekad meredah lautan siang dan malam untuk mencari bapa, Tuan Razali Wok, 74, yang hilang selepas terjatuh daripada bot ketika pulang mencandat sotong bersama dua rakan pada pagi Isnin lalu.

Kehilangan bapa kepada sembilan anak itu disedari dua rakannya sebaik bot menghampiri Jeti Pelabuhan Chendering, jam 5.30 pagi dan kali terakhir rakan mendakwa melihat mangsa di atas bot pada jarak empat kilometer dari jeti berkenaan.

"Walaupun bersendirian saya tetap akan turun ke laut mencari ayah tanpa mengira siang dan malam.

"Saya satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Sudah menjadi tanggung jawab saya dan tidak akan jemu mencari ayah selagi dia tidak ditemui," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Tuan Romzi yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga berkenaan berkata, sebagai anak dia harus menguatkan semangat walaupun pada masa sama diselubungi kesedihan berikutan kehilangan orang tersayang.

"Apa yang berlaku ini adalah ujian Allah kepada kami. Jika dinilai, pengorbanan saya ini masih tidak cukup untuk membalas pengorbanan besar ayah yang sudah berpuluh tahun meredah lautan bagi membesarkan kami adik beradik," katanya.

Dia yang berada di laut ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada penduduk dan rakan nelayan yang tidak jemu turun ke laut membantu mencari bapanya.

Tuan Romzi berharap ayahnya, Tuan Razali Wok, 74, yang hilang di laut segera ditemui. FOTO ihsan Tuan Romzi
Tuan Romzi berharap ayahnya, Tuan Razali Wok, 74, yang hilang di laut segera ditemui. FOTO ihsan Tuan Romzi

Katanya, keluarga juga turut berusaha termasuk melakukan solat hajat, bacaan Yassin dan doa yang tidak putus-putus memohon bapa segera ditemui.

Tuan Romzi turut berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan yang melakukan pencarian sejak Isnin lalu.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Tuan Nurul Hidayah, 37, berkata dia menghargai pengorbanan abangnya yang tidak mengenal erti penat lelah mencari bapa di laut.

"Saya tahu dia letih. Siang malam dia turun ke laut mencari ayah. Kami hargai pengorbanan abang dan kami adik beradik sentiasa mendoakan keselamatan abang sepanjang dia berada di laut mencari ayah," katanya.

Tuan Nurul Hidayah yang berkampung bersama keluarga di jeti berkenaan berharap bapanya segera ditemui.

"Apa keadaan sekalipun kami mahu melihat ayah dan berharap ayah ditemui segera" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 4:24 PM