APMM sedang melakukan Operasi CARILAMAT mangsa yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut pada kedudukan empat batu nautika Kuala Chendering. FOTO ihsan APMM
APMM sedang melakukan Operasi CARILAMAT mangsa yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut pada kedudukan empat batu nautika Kuala Chendering. FOTO ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Nelayan warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut pada kedudukan empat batu nautika Kuala Chendering di sini hari ini.

Mangsa, T Razali Wok, 74, disyaki terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan balik ke pangkalan kira-kira jam 5.30 pagi selepas keluar mencandat sotong.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, operasi mencari diaktifkan sebaik pihaknya menerima maklumat daripada tekong bot berkenaan.

Menurutnya, mangsa sebelum itu keluar mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong menggunakan bot Kelas A yang berpangkalan di Chendering.

"Mangsa kali terakhir dilihat berada dalam bot ketika dalam perjalanan pulang pada jarak kira-kira empat batu nautika menghala ke jeti.

"Kehilangan mangsa disedari tekong bot ketika mereka sudah menghampiri jeti sebelum segera melaporkan kehilangan berkenaan.

"Usaha mengesan mangsa sedang dilaksanakan membabitkan 85 kekuatan dan aset APMM, Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya memohon kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

Katanya, masyarakat juga diminta melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:32 PM