Omar Bakhtiar Yaacob
Omar Bakhtiar Yaacob
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Bedah siasat terhadap tiga pelajar yang maut nahas di KM245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, tengah malam semalam sudah selesai dijalankan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kini proses mengesahkan identiti mayat dibuat melalui pemeriksaan dan padanan rekod pergigian yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

"Bedah siasat sudah selesai tetapi sekarang sedang membuat pemeriksaan rekod pergigian untuk pengenalan identiti mangsa yang memerlukan masa dua hingga jam. Data mengenai pergigian mangsa juga sudah diperoleh.

"Sekiranya terdapat padanan atau persamaan (rekod pergigian), maka identiti tiga jenazah itu juga boleh dikenal pasti," katanya ketika dihubungi petang ini.

Menurutnya, jika padanan rekod pergigian masih gagal mengesahkan identiti mayat, langkah seterusnya adalah beralih kepada melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kita sedang menunggu masa sahaja untuk menghantar sampel DNA ke Jabatan Kimia di Cheras, Kuala Lumpur," katanya.

Jenazah tiga daripada lima pelajar mangsa rentung itu adalah Iqbal Hasnun Halimi, 23;Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar,22; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; yang kini masih berada di Unit Forensik Hospital Taiping sejak kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Terdahulu, lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas kemalangan dengan dua treler di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 6:15 PM