AHLI keluarga Allahyarham Muhammad Nasrun hadir di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar. FOTO L Manimaran
AHLI keluarga Allahyarham Muhammad Nasrun hadir di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Kuala Kangsar: "Abang memang nampak lain sangat-sangat... muka dia nampak sedih dan sangat kurang bercakap," kata Mohd Fikri Aidol Munir Akbar, 16, adik kepada Allahyarham Muhammad Nasrun, seorang daripada lima pelajar yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 245.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, tengah malam tadi.

Mohd Fikri berkata, dia bersama ahli keluarga kali terakhir menemui arwah abangnya itu pada Ahad lalu di rumah nenek saudara di Batu Gajah di sini.

"Pagi hari raya, abang tidak dapat meraikan bersama keluarga sebab kami di Selangor dan dia di rumah opah di Batu Gajah. Pagi itu dia raya tanpa keluarga di sisi.

"Petang itu baru kami sampai Batu Gajah, nampak sangat muka dan perangai dia lain sangat. Sebelum ini dia ceria, gembira dan suka kacau saya. Dah tiada yang nak kacau saya selepas ini," katanya sambil menangis tidak mampu menahan sebak ketika ditemui di tempat penginapan yang disediakan kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya, ibu dan bapanya mendapat mendapat maklumat mengenai kejadian pada jam 2.30 pagi sebelum mengejutnya dari tidur memaklumkan berita sedih pemergian abang kesayangan.

Sementara itu, Yuzambree Ramlee Mohd Yunus, 46, iaitu bapa saudara kepada Allahyarham Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, berkata, anak saudaranya itu tidak banyak bercakap seperti sebelum ini.

"Ada kadang-kadang tu macam nampak ada perubahan, tetapi tak sangka jadi macam ini... memang tak sangka betul mengejut macam ini," katanya ketika ditemui di lokasi sama.

Yuzambree Ramlee berkata, berita yang diterima awal pagi tadi itu sangat mengejutkan mereka sekeluarga.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa Ahmad Akmal lima hari lalu sebelum kembali ke kolej.

Katanya, Ahmad Akmal tinggal bersama keluarganya di Parit Buntar di sini selepas kematian nenek dan manakala ibu bapanya bercerai.

Terdahulu, nahas tiga kenderaan mengakibatkan lima individu rentung di KM 245.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, tengah malam tadi, dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan jalan.

Semua mangsa yang rentung berusia antara 19 hingga 23 tahun adalah penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 6:19 PM