Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Bapa kepada remaja bawah umur yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dah merempuh dua pemotong rumput hingga menyebabkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, di sini Sabtu lalu, sudah dikenakan saman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, saman dikenakan atas kesalahan membenarkan pemandu tanpa lesen memandu kenderaan itu.

Siasatan mendapati, remaja berusia 16 tahun itu mengambil kesempatan memandu MPV yang ditinggalkan di rumahnya selepas bapanya keluar rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan.

"Setakat ini, bapa kepada remaja terbabit yang juga pemilik kenderaan sudah dikenakan tindakan saman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Zaidy berkata, kertas siasatan berhubung kes ini masih belum lengkap sepenuhnya.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa selain laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Jika kedua-dua laporan ini sudah diperoleh, kertas siasatan akan dilengkapkan dan kita akan merujuknya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh MPV ketika berehat di tepi jalan.

Susulan daripada itu, polis menahan pemandu MPV terbabit sebelum membebaskannya dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 3:59 PM