FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang memuat naik video anggota trafik selepas tidak berpuas hati disaman atas kesalahan guna lesen kenderaan motor bagi tujuan lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota terbabit membuat laporan selepas mengetahui dirinya dan rakan setugas ditularkan oleh seorang lelaki di Instagram, semalam.

"Suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu mengeluarkan saman atas kesalahan guna lesen kenderaan motor (LKM) bagi tujuan lain pada Isnin lalu. Suspek sudah dikenakan denda RM1,000 oleh mahkamah atas kesalahan itu.

"Suspek juga datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam untuk membuat laporan polis kerana terbabit kemalangan langgar belakang dan dikenakan saman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek dikehendaki kes bersabit Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 lalu ditahan untuk tindakan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras.

Menurutnya, tindakan suspek menularkan video berkenaan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta reputasi anggota trafik terbabit.

Berikutan itu, katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 8:43 AM