HASBULLAH Abdul Kadir. FOTO Omar Ahmad
HASBULLAH Abdul Kadir. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: "Saya seronok bergelar jururawat, dapat berkhidmat dalam bidang ini memberi satu kepuasan," kata jururawat sebuah hospital swasta, Hasbullah Abdul Kadir, 52.

Katanya, ketika memilih profesion itu pada 1994, masyarakat masih pelik dengan gelaran jururawat lelaki.

"Alhamdulillah masyarakat kini lebih terbuka. Sama sahaja peranan jururawat lelaki dan wanita. Kemahiran juga sama boleh mengendalikan pesakit.

"Kami berharap masyarakat lebih bertimbang rasa kerana jururawat juga manusia yang ada keluarga dan memerlukan masa bersama keluarga," katanya yang berpengalaman 26 tahun sebagai jururawat.

Hasbullah yang juga Ketua Unit Bahagian Jantung dan Perfusionist turut berkongsi pengalaman ketika dijangkiti Covid-19.

"Saya dijangkiti Covid-19 dua kali, kali pertama pada 30 Disember 2020 dan saya dirawat selama 14 hari di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

"Biarpun tidak ditidurkan, tetapi saya memerlukan bantuan pernafasan, hampir setiap hari ada sahaja kawan sebelah katil yang ditidurkan dan ada yang meninggal dunia, perasaan ketika itu memang tidak stabil," katanya.

Menurutnya, kali kedua dijangkiti akhir tahun lalu, namun dia hanya kuarantin di rumah kerana sudah menerima vaksin dan hanya mengalami gejala ringan.

"Biasa kita yang berkhidmat untuk pesakit, tetapi bila dijangkiti kita pula jadi pesakit.

"Masa itu baru kita rasa semua tidak kena, emosi tidak stabil dan sedih.

"Nasib baik, keluarga dan rakan setugas banyak membantu dan berikan sokongan moral, kata-kata semangat kepada saya," katanya yang mempunyai lima cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 2:32 PM