MOHAMED Azlan
MOHAMED Azlan
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"SETELAH sedar selepas seminggu ditidurkan, saya baru tahu peluang hidup bagi pesakit Covid-19 yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hanyalah 50-50.

"Saya bersyukur diberikan peluang kedua oleh Allah SWT," kata Mohamed Azlan Ghazali.

Mohamed Azlan, 53, bekas pesakit Covid-19 tahap lima yang ditidurkan di ICU Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Januari tahun lalu.

Menurutnya, pada masa itu, dia tiada keraguan dan bersetuju apabila doktor memaklumkan dia perlu ditidurkan di ICU.

"Sedikit pun saya tidak berasa takut memandangkan ketika itu tidak ramai pesakit Covid-19 yang ditidurkan meninggal dunia.

"Namun, keadaan jadi berbeza apabila saya sedar apabila jumlah pesakit Covid-19 kategori lima yang meninggal dunia ketika ditidurkan semakin ramai, ditambah pula kes jangkitan Covid-19 pada masa itu mula meningkat," katanya.

Kakitangan swasta berkenaan berkata, selepas itu barulah dia berasa sedikit bimbang kerana dia turut menghidap darah tinggi, lelah (asma), obesiti dan kolesterol tinggi.

"Penyakit ini membuatkan saya berisiko dengan komplikasi jangkitan yang lebih teruk.

"Alhamdulillah, semua ini tidak terjadi (komplikasi) semasa ditidurkan dan saya melepasi fasa kritikal dengan agak cepat," katanya.

Menurutnya, dia pergi ke PPUM atas saranan abang ipar yang mendapati pernafasannya sedikit bermasalah dan berbunyi.

PESAKIT Covid-19 yang dirawat di ICU.
PESAKIT Covid-19 yang dirawat di ICU.

"Saya demam, tetapi keputusan dua ujian Covid-19 berbeza dan hanya dikuarantin di rumah.

"Hasil ujian RTK antigen (RTK-Ag) positif manakala keputusan ujian RT-PCR Covid-19 pula negatif," katanya.

Menurutnya, setelah keadaan stabil, dia dipindahkan ke wad separa kritikal di bawah pemantauan rapat doktor.

"Kesan jangkitan Covid-19 membuatkan badan saya lemah, lesu dan mahu tidur sepanjang hari, tetapi saya lawan rasa lemah dengan cuba melakukan pergerakan, walaupun dalam kepayahan, ditambah pula saiz badan yang besar," katanya.

Katanya, dia melakukan pergerakan dengan berpaut pada kerusi bagi mengelak terjatuh.

"Pesakit Covid-19 digalakkan melakukan pergerakan untuk menguatkan otot dan meningkatkan semula fungsi paru-paru yang terjejas.

"Sokongan daripada doktor membuatkan saya lebih bermotivasi dan mahu segera keluar dari hospital," katanya.

Mohamed Azlan berkata, antara hikmah dia dijangkiti Covid-19 ialah dirinya berubah menjadi individu yang aktif bersenam dan menjaga pemakanan, berbanding sebelum ini.

"Hasil senaman yang konsisten, saya dapat menurunkan berat badan kepada 80 kilogram (kg) daripada berat asal 120kg.

"Penyakit Covid-19 menyebabkan komplikasi kepada paru-paru dan aktiviti senaman adalah antara cara untuk memulihkan sistem pernafasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:30 AM