GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2.5 juta ke atas bekas pengarah eksekutif syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad (TGB) kerana mengemukakan kenyataan mengelirukan kepada Bursa Malaysia.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Gan Boon Aun, 59, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) TGB selepas mendapati tertuduh bersalah, selepas menjalani prosiding mahkamah sejak 2010 lalu.

Hasbullah memerintahkan Gan menjalani hukuman penjaranya bermula hari ini dan penjara 18 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

"Tertuduh gagal menyangkal anggapan statutori di bawah Seksyen 122 (1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983," katanya.

Hasbullah menambah, tertuduh dalam pembelaannya berkata, sebagai CEO, dia terlalu sibuk melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya oleh keluarga Robert Kuok, yang juga pemegang saham terbesar TGB ketika itu.

"Dengan semua tanggungjawab yang ditanggung olehnya, dia tidak mempunyai masa untuk menjalankan operasi harian syarikat itu dan membenarkan pengarah eksekutif TGB yang lain, iaitu Khiudin Mohammed untuk menjalankan operasi harian.

"Tertuduh berkata kerana kesibukannya, dia bergantung pada ketua pegawai kewangan TGB Lo Chok Ping untuk memeriksa akaun. Gan, dalam pembelaannya juga memberitahu bahawa adalah perkara biasa baginya untuk menandatangani cek dan dokumen terlebih dahulu," katanya.

Hasbullah berkata, tertuduh gagal menjalankan tugasnya dengan wajar untuk mengelakkan penyataan mengelirukan itu dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

Gan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Mohd Hafiz Mohd Yusof, Munira Masood dan Mohd Shafiq Azman.

Ketika rayuan, Tan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan anak guamnya adalah pesalah pertama dan sudah membayar kesalahannya.

"Tidak kira bagaimana pandangan anda, anak guam saya sebagai pesalah pertama dan pesalah pertama sentiasa menjadi faktor untuk pengurangan hukuman.

"Gan pada mulanya didakwa bersama Lo dan Khiudin tetapi pertuduhan terhadap Lo digugurkan manakala Khiudin dibebaskan," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hafiz memohon tertuduh dijatuhi hukuman penjara antara 12 hingga 24 bulan dan denda RM2 juta, mengambil kira peranan tertuduh dalam tindakan itu.

"Kami menghujahkan kepentingan umum harus menjadi keutamaan dalam menjatuhkan hukuman. TGB melaporkan kerugian bersih RM126 juta setelah syarikat itu akhirnya mengetahui status akaun itu.

"Setelah dikeluarkan penyata kewangan, harga saham TGB sangat tinggi (RM17) tetapi setelah pengumuman itu, ia jatuh ke RM4 pada 29 Jun 2007, penurunan 67 peratus dari harga awal," kata Mohd Hafiz.

Seramai 42 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes yang bermula pada 22 Jun 2010 dan tertuduh dipanggil untuk membela diri pada 16 Mac 2011.

Prosiding membela diri bermula pada 27 Julai 2018 kerana beberapa masalah perlembagaan yang dibangkitkan oleh Gan.

Pada 2007, Suruhanjaya Sekuriti mengenakan pertuduhan terhadap Gan kerana bersubahat dengan Transmile dalam membuat kenyataan yang mengelirukan tentang butiran material berkaitan hasil syarikat itu dalam laporan suku tahunan belum diaudit yang digabungkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006.

Ini berkemungkinan mendorong pembelian saham Transmile oleh individu lain.

Gan juga didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu mengemukakan kenyataan mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd dalam penyata kewangan sama.

Mengikut pertuduhan alternatif, Gan didakwa sebagai pengarah Transmile Group, dan dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 14 Februari dan 15 Februari 2007.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 122B (a) (bb) Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983 (Akta 280) yang dibaca bersama dengan Seksyen 122 (1) akta yang sama.

Dia dipanggil untuk membela diri terhadap pertuduhan alternatif di akhir kes pendakwaan.

Pada Jun 2011, Gan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan perlembagaan mengenai kesahihan Seksyen 122 (1) SIA. Dia berpendapat bahawa peruntukan itu tidak sesuai dengan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi pada 2016 merujuk persoalan perlembagaan berkenaan ke Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan.

Pada Mac 2017, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan bersejarahnya, memutuskan bahawa pegawai dan pengarah utama akan bertanggungjawab sekiranya syarikat yang mereka wakili memberikan maklumat yang mengelirukan.

Oleh itu, mahkamah berkenaan memerintahkan kes Gan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk diteruskan dengan perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:53 PM