MOHD Adli melakukan pemeriksaan Op Selamat 18 di sekatan Jalan Raya di KM 3 Jalan Ajil - Kuala Berang dan KM 7 Jalan Kuala Berang - Ajil. FOTO Ihsan PDRM
MOHD Adli melakukan pemeriksaan Op Selamat 18 di sekatan Jalan Raya di KM 3 Jalan Ajil - Kuala Berang dan KM 7 Jalan Kuala Berang - Ajil. FOTO Ihsan PDRM
Zaid Salim

Kuala Berang: Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Selamat 18 dijalankan polis daerah ini berjaya menahan tujuh lelaki menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek berusia antara 21 hingga 51 tahun dikesan melakukan kesalahan itu dalam satu pemeriksaan di tiga lokasi SJR berbeza antara 6 petang hingga 8 malam tadi.

Menurutnya, empat daripada mereka ditahan dalam SJR di Kilometer (KM) 3 Jalan Ajil-Kuala Berang dan KM7 Jalan Kuala Berang-Ajil manakala tiga lagi ditahan di SJR di KM21 Jalan Kuala Berang-Telemong.

"Kesemua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Mohd Adli berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 260 kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 178 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan dikesan adalah tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tidak pamer Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan LKM tamat tempoh serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Katanya, pihaknya turut menyita tujuh motosikal dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 3:01 PM