KEADAAN Proton Waja yang rosak selepas terbabas sebelum merempuh sebuah Mercedes Benz di Kampung Undang.  FOTO Zaid Salim.
KEADAAN Proton Waja yang rosak selepas terbabas sebelum merempuh sebuah Mercedes Benz di Kampung Undang. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Orang ramai termasuk pengamal media yang membuat liputan kejadian ribut di Kampung Undang, di sini, dikejutkan dengan dentuman kuat sebelum mendapati kereta dinaiki dua warga emas terbabas dan merempuh kereta diparkir di tepi jalan.

Difahamkan sebelum kejadian, Proton Waja dipandu lelaki berusia lingkungan awal 70-an yang berstatus orang kurang upaya (OKU) dikatakan dalam perjalanan dari arah Pekan Kedai Buluh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian menghala ke rumahnya di Kampung Baloh, di sini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, warga emas terbabit yang memakai kaki palsu dipercayai mengalami kekejangan sebelum tertekan pedal minyak ketika tersangkut dalam kesesakan jalan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Saksi yang hanya dikenali sebagai Firuddin berusia lingkungan 30-an dari Kampung Undang berkata, ketika kejadian, dia berada dalam jarak tiga kenderaan belakang kenderaan mangsa.

Katanya, secara tiba-tiba kereta terbabit melanggar bahagian kiri sebuah Perodua Kancil sebelum kenderaan mangsa terbabas ke kiri jalan.

"Kereta terbabit kemudian meluru laju ke hadapan dengan tayar kiri berada di atas rumput bahu jalan sebelum merempuh Mercedes Benz yang diletakkan berhampiran jalan di hadapan sebuah bengkel," katanya ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi pengguna, Jamaru Azlan Johar, 41, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anak dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Padang Midin, di sini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan, Perodua Kancil dinaiki rosak di bahagian kiri belakang selepas dilanggar kenderaan warga emas terbabit.

"Ketika itu kereta kami tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, pada masa sama, saya yang duduk di kerusi penumpang hadapan melihat menerusi cermin sisi sebuah Waja menghala ke arah kenderaan kami dalam keadaan laju.

"Saya terus meminta isteri yang memandu segera menggerakkan kereta ke kanan jalan.

"Proton Waja terbabit kemudian melanggar Mercedes Benz sebelum melanggar bahagian kiri belakang kereta saya," katanya.

Jamaru berkata, dia bersyukur kerana keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Pasangan warga emas terbabit yang dipercayai mengalami kecederaan ringan dibawa ke hospital oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 11:07 PM