Amir Abd Hamid dan Natrah Laili Abdul Aziz

Putrajaya: Selepas dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, orang ramai kembali berkumpul sebagai Keluarga Malaysia di Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Kemeriahan ribuan pengunjung pelbagai bangsa tanpa mengira latar-belakang dapat dirasai khususnya keterujaan mereka cuba mengambil peluang untuk bersua dan bersalaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang segak berbaju Melayu dan bersampin merah lengkap bersongkok serta isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan majlis itu yang berlangsung hingga 4 petang ini.

ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah

Sebanyak 40 jenis juadah raya dihidangkan dengan konsep desa menggamit nostalgia pengunjung.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) sudah dilonggarkan sejak 1 Mei lalu iaitu tidak lagi perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat terbuka, namun pengunjung tetap menjaga keselamatan dan kawalan kendiri.

Antara Menteri Kabinet yang hadir pada majlis bertemakan 'Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri' ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah

Seorang pengunjung, Murniati Rahmat, 59, dari Wangsa Maju berkata, dia lima beranak sudah beratur sejak 9 pagi di depan Kompleks Seri Perdana.

"Ini cubaan sulung dan syukur berjaya dapat masuk ke kompleks kediaman rasmi Perdana Menteri," katanya yang kurang bertenaga namun bersemangat dipimpin anaknya Nursyazwani Rosli, 23.

ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri (berbaju Melayu merah) beramah mesra bersama tetamu. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, Choo Keng Chung, 73, dari ibu negara berkata, dia sememangnya setiap tahun tidak pernah terlepas peluang datang ke rumah terbuka sejak era 1980-an pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya suka menikmati makanan Melayu seperti rendang dan keropok lekor.

"Sebab itu tak kisah walaupun 8 pagi naik bas dari KL.

"Jam 9.30 pagi tiba di Putrajaya Sentral sebelum sampai ke sini," katanya yang mengetahui majlis rumah terbuka Perdana Menteri menerusi televisyen.

ANTARA tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. FOTO Asyraf Hamzah

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 11:28 AM