Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap dua anaknya di Flat Padang Tembak, Jalan Air Itam di sini, baru-baru ini.

Tertuduh, Jenny Oon Wei Wei, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagi pertuduhan pertama, wanita berkenaan dituduh melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap anak lelakinya berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan di Blok J-13-8 Flat Padang Tembak, Jalan Air Itam di sini, antara 13 hingga 27 Mei lalu.

Sementara pertuduhan kedua pula, Wei Wei dituduh melakukan perbuatan yang sama terhadap anak perempuannya berusia lima tahun di lokasi dan tarikh yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tiga syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan bertemu dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.

Sementara itu di mahkamah berasingan, seorang wanita dan rakan lelakinya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-duanya sebagai penjaga kanak-kanak itu dituduh atas kesalahan melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Ng Hang Moon, 52 dan Lim Kim Boon, 42, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pembantu jualan durian mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin namun Hang Moon merayu dibenarkan diikat jamin berikutan menanggung seorang anak yang masih bersekolah selain hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM70 sehari.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan kedua tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi kes berkenaan selain perlu melapor diri di balai berhampiran setiap bulan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

Terdahulu Harian Metro melaporkan penahanan dua wanita terbabit susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan mengenai satu hantaran di Facebook (FB) memaparkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.

Mengesyaki kanak-kanak itu menjadi mangsa dera, lelaki berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Air Itam di sini.

Hang Moon (berbaju merah jambu) dan Kim Boon (berbaju merah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap dua kanak-kanak di Flat Padang Tembak, Jalan Air Itam. Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
Hang Moon (berbaju merah jambu) dan Kim Boon (berbaju merah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap dua kanak-kanak di Flat Padang Tembak, Jalan Air Itam. Foto ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 2:36 PM