KEADAAN kemalangan yang mengorbankan graduan Politeknik Mersing dalam kejadian di kilometer 23, Jalan Pekan-Rompin, semalam. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan graduan Politeknik Mersing dalam kejadian di kilometer 23, Jalan Pekan-Rompin, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


GRADUAN Politeknik Mersing maut manakala bapanya patah kedua kaki dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 23 Jalan Pekan-Rompin, di Pekan, semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa Nurul Adibah Razali, 21, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Wira dipandu ayahnya Razali Salim, 61, hilang kawalan sebelum melanggar dua kereta Proton Saga dan Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kereta dipandu Razali yang juga pesara FELDA datang dari arah Pekan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan dua kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan licin dan hujan renyai sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan.

“Akibat kemalangan itu anaknya yang juga penumpang belakang meninggal dunia sementara isterinya Saniah Haron, 65, tidak mengalami kecederaan.

“Turut cedera ialah pemandu Proton Saga, Mohd Yati Salleh, 26,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Razli berkata, keterangan mangsa yang selamat sudah diambil bagi membantu melengkapkan siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:19 AM