NOR Rohaini dan  Mohd Azharrudin yang maut dalam kemalangan lima kenderaan malam tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd  Manap.
NOR Rohaini dan Mohd Azharrudin yang maut dalam kemalangan lima kenderaan malam tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Ketika bersalaman dan memohon maaf daripada arwah ibu Aidilfitri baru-baru ini, emak memeluk saya lebih erat dan lama daripada kebiasaan.

"Tidak sangka itu pelukan terakhir emak selepas arwah pergi buat selama-lamanya apabila terbabit kemalangan malam tadi," kata Mohd Kamarul Hafiz Azmee, 36 anak kedua Nor Rohaini Masri, 62.

Nor Rohaini dan anak ketiganya Mohd Azharrudin, 34 dari FELDA Palong 12 maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Besar FELDA Palong Empat, dekat sini.

Selain itu, Mohd Kamarul Hafiz berkata, arwah ibunya juga tidak sabar mahu bergambar dengan cucu-cucunya yang ada ketika itu.

Katanya, arwah ibunya jarang mahu bergambar namun ketika itu, arwah seperti tidak sabar mahu merakamkan kenangan bersama.

"Saya hanya dimaklumkan mengenai kemalangan dalam kumpulan WhatsApp keluarga sebelum bergegas pulang dari Kuala Rompin, Pahang sebab bekerja di sana.

"Mujur saya dapat pulang bercuti namun tidak menyangka ia pertemuan terakhir saya dengan arwah ibu," katanya ketika ditemui di Hospital Jempol, hari ini.

Mohd Kamarul Hafiz berkata, dia hanya berkesempatan bertemu arwah adiknya pada malam hari raya kedua, Selasa lalu namun tiada perubahan yang dilihat.

Menurutnya, dia dan arwah juga mesra dan sering kali berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

"Ketika keluar makan malam itu, arwah turut membawa isteri dan seorang anak perempuannya bersama namun isteri arwah dan anaknya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Sementara, Shafiq Azri Azman, 22, yang juga anak saudara kepada Nor Rohaini berkata, dia bersama 31 ahli keluarga baru pulang daripada menjamu selera di Gemas.

Katanya, mereka pergi dengan tujuh kenderaan dan secara berkonvoi pergi dan balik.

"Ketika itu saya mengekori Toyota Avanza dinaiki sepupu dan arwah emak saudara.

"Saya terkejut melihat kemalangan yang berlaku malah tidak sempat mengelak apabila turut melanggar Proton Exora dari arah bertentangan yang sebelum itu berlanggar dengan kenderaan dinaiki kedua-dua arwah.

"Dalam keadaan panik, saya menyelamatkan wanita di dalam Proton Exora disebabkan dia menjerit ada anak kecil sebelum melihat kenderaan dinaiki mereka," katanya.

Shafiq Azri berkata, luluh hatinya apabila mendengar arwah ibu saudara memanggil nama anaknya yang memandu kenderaan itu sebelum suara itu hilang perlahan-lahan.

Katanya, dia dan penumpang lain di dalam Toyota Avanza tidak mengalami kecederaan.

Sementara abang Nor Rohaini, Mohd Yasri Masri, 70 berkata, hasrat untuk bertemu arwah adiknya tidak kesampaian apabila meninggal dunia akibat kemalangan itu.

"Saya sudah merancang untuk bertemu adik kerana arwah tidak dapat hadir perjumpaan keluarga di Muar, Johor pada hari raya kedua.

"Namun, tidak sangka pula kami bertemu dalam keadaan seperti ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dua beranak maut kemalangan babit lima kenderaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 4:45 PM