HUJAN lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung rumah di Yan tercabut. FOTO ihsan APM
HUJAN lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung rumah di Yan tercabut. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Tahun ini, saya dan adik beradik lain bercadang nak sambut Aidilfitri di rumah ayah dan mak tapi kejadian ribut malam tadi menyebabkan bumbung rumah ayah tercabut dan rosak.

"Sebaik menerima panggilan daripada adik, saya terus menjemput ayah, Abu Bakar Ahmad, 75, dan emak, Bunga Ishak, 65, tinggal sementara di rumah saya," kata Saadiah Abu Bakar, 47.

Dalam kejadian 10 malam itu, rumah keluarga Saadiah di Taman Dulang, di sini rosak akibat dipukul ribut.

Kejadian ribut itu turut mengakibatkan lima keluarga di tiga kampung dan satu taman perumahan di dua mukim di daerah itu terjejas.

Menurut Saadiah, kejadian berlaku ketika kedua ibu bapanya sedang berehat dalam rumah selepas pulang dari rumahnya di Kuala Sedaka, di sini.

Katanya, kejadian ribut tak sampai lima minit itu menyebabkan sebahagian besar bumbung di hadapan rumah dan dalam bilik adiknya tercabut.

"Sebaik adik menghubungi saya memaklumkan kejadian itu, saya hanya fikirkan keselamatan ibu bapa saya dan terus membawa mereka tinggal bersama saya buat sementara waktu.

"Cadang saya nak sambut raya di rumah mak dan ayah kerana adik-adik balik bercuti raya tahun ini tetapi mereka terpaksa berhimpun di rumah saya sementara menunggu rumah untuk dinaiki," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkiffli berkata, antara kampung yang terjejas dalam kejadian ribut adalah di Kampung Kuala Dulang Kechil (dua rumah), Kampung Kuala Sedaka (1), Taman Muafakat (1) di Mukim Dulang dan Kampung Sungai Tongkang (1) di Mukim Sungai Daun.

Biau berkata, hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan berlakunya kejadian ribut di sekitar daerah Yan.

"Selain itu terdapat beberapa kediaman mengalami kerosakan yang teruk dalam kejadian 10 hingga 11 malam.

"Namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu di Pendang, 14 rumah di Mukim Bukit Raya membabitkan 11 rumah di Kampung Rambai dan tiga rumah di Kampung Kubang Jelai terjeas akibat ribut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslinan Yusof berkata, kejadian berlaku jam 10.15 malam tadi disebabkan hujan lebat lebih 30 minit yang disertai angin kencang serta ribut dan pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 1:58 PM