BUMBUNG rumah yang tercabut akibat ribut. FOTO ihsan APM
BUMBUNG rumah yang tercabut akibat ribut. FOTO ihsan APM
Omar Ahmad


SEBANYAK 47 rumah di Taman Desa Permai, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, rosak akibat dilanda ribut, 6.30 petang tadi.

Ketua Kampung Melayu Kangkar Pulai, Mohd Hafizal Yusuf, 38, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas Maghrib dan terus ke lokasi bagi membuat bancian rumah terjejas.

Katanya, kebanyakan rumah rosak di bahagian atap yang terbang ribut.

“Terdapat 47 rumah di Jalan Sibur-sibur, Jalan Agas, Jalan Mentibang dan Jalan Cengkerik terbabit dalam kejadian ribut itu.

“Ada atap rumah tercabut lima atau enam keping tetapi lima rumah di Jalan Sibur-sibur yang hampir keseluruhan atap serta owning mereka tercabut.

“Ini adalah kejadian paling teruk sebelum ini ribut pernah jadi tiga tahun lalu tetapi tidak membabitkan jumlah rumah yang banyak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan menerima laporan mengenai kejadian namun tiada mangsa dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 11:16 PM