BUMBUNG rumah penduduk di Kampung Kuala Dulang Kechil yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO ihsan pembaca
BUMBUNG rumah penduduk di Kampung Kuala Dulang Kechil yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Tak sampai lima minit selepas guruh berdentum, pusaran angin puting beliung menerbangkan sebahagian bumbung rumah menyebabkan saya takut dan berlindung di ruang tamu," kata Saidah Said, 60.

Dalam kejadian pada 2 pagi hari ini, 16 rumah di Kampung Sedaka, Kampung Simpang Empat, Kampung Kuala Dulang Kechil di daerah ini mengalami kerosakan selepas bumbung rumah mereka diterbangkan angin.

Ketika kejadian, ada penduduk yang sedang tidur dan terkejut sebaik mendengar bunyi kuat bumbung rumah diterbangkan angin.

Saidah berkata, dia seorang diri di rumahnya di Kampung Kuala Dulang Kechil.

"Sepanjang malam tadi, saya tak dapat lelapkan mata apabila terdengar bunyi guruh kuat dan disertai kilat serta hujan lebat.

"Sebaik memandang ke atas, saya nampak bumbung di dapur sudah tiada dan ketika itu air hujan masuk mencurah-curah tetapi saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima 16 laporan polis berhubung kejadian ribut di sekitar kawasan kampung di Sedaka dan Kampung Kuala Dulang Kechil.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat semua mangsa, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami dalam kejadian dianggarkan dalam kejadian itu melebihi RM70,000.

"Kesemua mangsa mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM12,000 untuk setiap rumah bergantung pada kerosakan yang dialami.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau dilaporkan berlaku dalam kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 4:37 PM