ANJALAIDEVI bersama suaminya, Logeswaran. FOTO Mary Victoria Dass
ANJALAIDEVI bersama suaminya, Logeswaran. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Hati saya terbuka mengahwininya empat tahun lalu kerana dia seorang yang bertanggungjawab dan bersemangat kental walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU)," kata M Anjalaidevi , 31.

Anjalaidevi berkata, dia berkenalan dengan D Logeswaran, 38, di media sosial dan menjalin hubungan percintaan selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, suaminya tidak dapat berjalan, dia mengesot serta berguling untuk bergerak ke mana-mana kerana tidak memiliki kaki sejak lahir selain menghidap sakit untut.

Katanya, sebelum ini dia bekerja di kilang dan sedikit sebanyak menyumbang modal bagi membantu suaminya membeli lebihan kain untuk menghasilkan alas kaki anyaman.

"Ketika bekerja sebelum ini, setiap hari pada jam 5.30 pagi saya akan masak untuk suami sebelum pergi kerja dan kerap menghubunginya.

"Malangnya saya patah kaki pada Disember lalu kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa berhenti kerja.

"Sejak itu, kami berdepan dengan masalah kewangan dan terpaksa berpindah ke rumah ini sejak seminggu lalu kerana rumah sewa di Kulai sebelum ini usang dan tidak sesuai dihuni lagi," katanya yang menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Perling di sini, semalam.

Pasangan itu ditemui ketika menerima kunjungan Ketua MIC Bahagian Kulai, S Suppayah dan Timbalannya, Datuk Seri Siva Das.

Anjalaidevi berkata, dia bersyukur kerana MIC Bahagian Kulai membayar deposit RM1,500 dan sewa rumah bulanan (RM250) bagi meringankan beban mereka yang hilang punca pendapatan.

Menurutnya, suaminya juga menerima bantuan bulanan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 yang digunakan bagi membeli barangan dapur.

"Saya berhasrat berniaga makanan secara kecil-kecilan di kawasan flat ini.

"Saya juga akan memberi semangat kepada suami untuk meneruskan jualan alas kaki dari rumah selain berhasrat menghadiahkan kerusi roda automatik bernilai RM3,000.

"Ia bagi memudahkan pergerakan suami terutama ketika saya keluar bekerja dan saya harap dapat mengumpul wang secukupnya," katanya.

Logeswaran berkata, kebiasaannya dia menjual alas kaki anyaman dengan harga RM5 hingga RM20 bergantung kepada saiz.

Menurutnya, dia berharap dapat meneruskan aktiviti menganyam alas kaki dan menjualnya menerusi hebahan di media sosial.

Sementara itu, Suppayah berkata, MIC akan melancarkan satu tabung khas untuk Logeswaran dalam supaya sumbangan yang bakal diperoleh nanti dapat membantu kehidupan pasangan itu.

"Saya menyeru syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan atau mana-mana pihak untuk membantu pasangan ini, " katanya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Anjalaidevi di talian 010-8800509.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:50 PM