Kamalanathan menyempurnakan majlis pecah tanah pra sekolah di SJKT Kulai Besar hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Kamalanathan menyempurnakan majlis pecah tanah pra sekolah di SJKT Kulai Besar hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


KERAJAAN pusat sentiasa mengorak langkah mewujudkan lebih banyak ruang pendidikan awal termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, sejumlah RM10 juta peruntukan diumumkan kerajaan pusat bagi tujuan itu menerusi Belanjawan 2016.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakannya secara berperingkat dan dijangka mampu dilakukan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Katanya, sebanyak 50 prasekolah akan dibina dengan kos RM200,000 setiap satu.

“Menerusi penambahan 50 prasekolah, bilangan bilik darjah bagi mengendalikan pembelajaran juga akan meningkat kepada 312 berbanding 262 ketika ini di 239 sekolah.

“Kita akan mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan 50 prasekolah berkenaan.

“Peruntukan khas berkenaan diserahkan kepada pengelola di semua sekolah bantuan modal dan sekolah kerajaan, ia diagihkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Prasekolah dan Perasmian Bangunan Baru di SJKT Kulai Besar di Kulai, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC negeri, Datuk M Asojan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar dan Pengerusi MIC Bahagian Kulai, S Suppayah.

Kamalanathan berkata, bangunan baru berkenaan menelan belanja RM3.9 juta.

Beliau berkata, ia bagi menampung keperluan SJKT Kulai Besar yang kini memiliki seramai 813 murid.

“Pengurusan sekolah juga membuat permohonan bagi pembinaan bangunan baru dan ia akan dipertimbangkan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:30 PM