ANGGOTA bomba hadir di tempat kejadian untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit dalam lori kontena di KM 7 Jalan Lipis-Merapoh. FOTO Ihsan PDRM.
ANGGOTA bomba hadir di tempat kejadian untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit dalam lori kontena di KM 7 Jalan Lipis-Merapoh. FOTO Ihsan PDRM.
Roselan Ab Malek


Lipis: Pemandu lori kontena yang membawa muatan kayu pallet meninggal dunia selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Mohd Khairudin Abas @ Ibrahim, 33, yang berasal dari Kampung Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa memandu dari arah Kilang Rainbow Pallet Padang Tengku untuk menuju ke Klang, Selangor.

"Ketika tiba di lokasi yang berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas kenderaan lalu ia terbabas ke kiri dan terbalik.

"Mangsa parah di kepala, maut di lokasi," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:27 AM