FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000 untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah.

Sumber berkata, lelaki berusia 35 tahun itu bertugas sebagai penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan dan dipercayai meminta suapan bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di negeri ini.

Menurutnya, individu yang ditahan itu adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit.

Jelasnya, lelaki berkenaan ditahan pegawai SPRM Selangor selepas menerima wang RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran sekitar Bangi, kira-kira jam 4 petang hari ini, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk direman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 8:44 PM