GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dibenarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Semalam, suspek berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan pegawai SPRM Selangor selepas menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran sekitar Bangi kira-kira jam 4 petang.

Sumber berkata, lelaki berkenaan dipercayai meminta suapan bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di negeri ini.

Menurutnya, individu yang ditahan itu adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:50 PM