Seramai 33 pengunjung sebuah pusat hiburan di Keningau dikompaun kerana ingkar SOP. FOTO Ihsan PDRM
Seramai 33 pengunjung sebuah pusat hiburan di Keningau dikompaun kerana ingkar SOP. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Keningau: Seramai 33 individu termasuk 10 wanita dikompaun dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Peralihan ke Endemik dan Op Hiburan di pusat hiburan di sini, hari ini.

Operasi bermula 1.35 pagi itu membabitkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika serbuan, premis itu didapati beroperasi dengan muzik kuat dan pengunjung leka menikmati minuman keras sambil berhibur.

"Seramai 23 lelaki dan 10 wanita berusia antara 20 hingga 50-an diperiksa dan dikompaun kerana tidak patuh SOP ditetapkan, yang mana aktiviti pusat hiburan juga masih tidak dibenarkan.

"Manakala lelaki yang juga pemilik premis ditahan kerana beroperasi tanpa lesen dan disiasat mengikut Ordinan Hiburan Awam 1958," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, pasukan turut merampas beberapa peralatan muzik di premis itu.

Beliau mengingatkan orang ramai agar terus patuh kepada arahan dan SOP sepanjang pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 4:25 PM