PREMIS hiburan didapati melanggar SOP PPN Fasa 4. FOTO Ihsan Polis
PREMIS hiburan didapati melanggar SOP PPN Fasa 4. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Seramai 94 pelanggan dan seorang pemilik premis pusat hiburan dikompaun RM198,000 kerana melanggar Perintah Pemulihan Negara (PPN) (Fasa 4), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis membuat serbuan ke premis terbabit di Bandar Utama, di sini, pada 10.30 malam kerana beroperasi dalam tempoh PPN Fasa 4.

Menurutnya, ketika serbuan premis beroperasi dalam keadaan muzik yang dipasang dengan kuat dan pelanggan sedang berhibur.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis gagal mengemukakan lesen perniagaan pusat hiburan dan lesen menjual minuman keras.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas 94 pelanggan warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun dan dua lelaki positif dadah jenis ketamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin, dua pelanggan itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) no.3) 2021 sebanyak RM10,000 ke atas pemilik premis kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan ketika PPN Fasa 4.

"Kesemua 94 pelanggan pula dikompaun mengikut Peraturan 17(1) PPPPB (no.3) 2021 sebanyak RM2,000 setiap seorang," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 76(1) Akta Eksais dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:16 PM