FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiga belas lokaliti di Pahang, Sarawak, Johor dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 Julai sehingga 27 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dikenakan PKPD di Pahang ialah Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub manakala di Sarawak ialah Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching.

Selain itu, satu lokaliti di Johor iaitu Felda Maokil, Muar turut dikenakan PKPD manakala di Sabah pula antara yang dikenakan PKPD ialah Taman Muhibbah Fasa 1,2 & 3, Beaufort dan Kawasan Sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau.

"Enam kawasan di daerah Keningau turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Patikang Ulu; Kilang dan Kuarters Focus Lumber; Kilang dan Kuarters Veracity; Kilang dan Kuarters Hasil Jadi; Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia.

"Selain itu, lokaliti di Panampang yang dikenakan PKPD ialah Kampung Madsiang ; Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, seramai 514 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan atau minum di premis (126); tiada penjarakan fizikal (104); individu gagal mendaftar masuk premis (69); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58); membawa penumpang berlebihan (56); tidak memakai pelitup muka (55); premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (33).

"Pasukan operasi melakukan 78,975 pemeriksaan semalam. Ia membabitkan 4,316 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 19,477 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 7:49 PM