GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis mengeluarkan kompaun terhadap 54 individu tempatan berjumlah RM290,000 dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Sutera Utama, Skudai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, sepasukan polis Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU menjalankan operasi itu, pada 2.29 pagi.

Katanya, ketika pasukan polis memasuki premis, didapati muzik dipasang dengan kuat yang mana seramai 53 pelanggan iaitu 30 lelaki dan 23 wanita sedang leka berhibur.

"Pengurus juga gagal mengemukakan lesen hiburan dan pelanggan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Tindakan kompaun dikenakan terhadap kesemua individu berusia antara 17 hingga 45 tahun, selain polis turut merampas peralatan muzik elektronik yang digunakan untuk hiburan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus premis dikenakan kompaun berjumlah RM25,000, manakala 53 pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:32 AM