Sebanyak 10 peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine dan sepeket plastik ketulan mampat serta ceraian daun kering disyaki ganja yang dirampas polis susulan penahanan dua lelaki di sekitar Ampang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Sebanyak 10 peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine dan sepeket plastik ketulan mampat serta ceraian daun kering disyaki ganja yang dirampas polis susulan penahanan dua lelaki di sekitar Ampang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM74,380 dalam serbuan berasingan di Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 33 tahun itu ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan maklumat diperoleh.

Menurutnya, pihaknya menahan suspek pertama di tepi Jalan Ampang Ulu 3 dan merampas sebuah beg pada 3 petang.

"Pemeriksaan dalam beg menemui 10 peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine anggaran berat 2,012 gram (g), sebotol cecair disyaki methamphetamine berisi padu 300 mililiter (ml) dan sepeket plastik berisi ketulan mampat serta ceraian daun kering disyaki ganja anggaran berat 36g.

"Kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung keperluan 4,060 penagih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, penahanan suspek pertama itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah apartmen di Ampang pada 3.40 petang hari sama.

Menurutnya, polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik suspek pertama.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sekitar ibu kota sejak April tahun lalu. Mereka juga didapati positif methamphetamine selepas saringan ujian air kencing dijalankan," katanya.

Menurutnya, suspek pertama direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 April, manakala suspek kedua direman tiga hari sehingga Khamis ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 5:27 PM