Antara dadah yang dirampas polis susulan penahanan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di kawasan kondominium di Batu 9, Cheras, Kajang, pada Sabtu lalu. FOTO IHSAN POLIS
Antara dadah yang dirampas polis susulan penahanan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di kawasan kondominium di Batu 9, Cheras, Kajang, pada Sabtu lalu. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM31,000 dalam serbuan berasingan di kawasan kondominium Batu 9, Cheras di sini, Sabtu lalu.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang melakukan serbuan susulan maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam serbuan pertama pada 12.40 tengah malam, seorang suspek ditahan di kawasan kondominium berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan menemui empat paket plastik berisi bahan disyaki serbuk ekstasi dianggarkan seberat 54.8 gram serta empat botol minuman mengandungi cecair disyaki ekstasi dengan isipadu 1.4 liter.

"Susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah premis perniagaan di kondominium sama dan menahan seorang lagi suspek.

"Kita (polis) merampas satu bekas plastik berisi 219 paket plastik disyaki serbuk ekstasi anggaran berat 4,529 gram, tiga botol cecair disyaki ekstasi (1.35 liter), dua paket plastik mengandungi 61 biji pil ekstasi (28.7 gram), sepaket plastik berisi ketamin (8.2 gram) dan lima aluminium foil mengandungi 50 biji pil erimin 5 (16.1 gram).

"Nilai rampasan keseluruhan dadah itu berjumlah RM31,405. Dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua suspek yang ditahan adalah penganggur dan ujian saringan awal air kencing ke atas mereka didapati positif methamphetamine.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada dua suspek itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk dadah.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Julai ini," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 6:28 PM