GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Hasbi Sidek


MUSLIHAT tiga lelaki menyorok dadah dalam bilik hos bomba berjaya dikesan ketika polis memeriksa sebuah rumah di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak, di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika pemeriksaan jam 1 tengah hari itu, kumpulan itu mengunci bilik hos berkenaan menggunakan mangga dan enggan menyerahkan kuncinya sebelum pihak polis memecahkan mangga dan menemui enam paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin.

Terdahulu, ketika pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju di rumah yang didiami individu berkenaan, polis menemui dua paket kecil plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhamad Najib Hamzah berkata, serbuan di kediaman berkenaan dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan itu.

“Sepasukan anggota dari BSJND Wangsa Maju menyerbu rumah berkenaan dan mendapati tiga lelaki berusia dari 22 hingga 39 tahun berada di dalamnya sebelum pemeriksaan pada dua lelaki menemui dua paket kecil plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 0.43 gram (g).

“Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek, mereka memberitahu terdapat dadah yang disimpan di bilik hos bomba berhampiran tangga sebelum suspek membawa polis ke lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Najib berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik berkenaan menjumpai enam paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 161 g.

“Turut dijumpai, satu alat yang digunakan bagi tujuan membungkus dadah. Nilai rampasan keseluruhan adalah RM4,860 yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Air Panas.

“Semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah, suspek kedua mempunyai dua rekod, manakala suspek ketiga tiada rekod. Semua mereka didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 7:57 PM