GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemui selamat selepas hilang ketika aktiviti latihan menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing pada Rabu lalu.

Dalam hantaran terbaru di laman sosial Facebook, kurniaan itu diserahkan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters, 45 dan warga Perancis Alexia Alexandria Molina, 18 oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.

Kedua-dua mangsa menjunjung kasih atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat keadaan mereka.

Semalam, Adrian Peter dan Alexia Alexandria ditemui pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi.

Adrian Peter turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam, anaknya Nathan Renze Chesters, 14 tahun, telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Manakala Jurulatih selam, Kristine Grodem dari Norway, ditemui pada hari Khamis, lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.

Rentetan insiden itu, Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga siasatan kes selesai dan kajian semula seluruh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan aktiviti menyelam di Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:59 PM