etua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing (tengah) pada sedang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini. FOTO BERNAMA
etua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing (tengah) pada sedang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Omar Ahmad


Mersing: Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol di sini, Rabu lalu ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

Beliau berkata kedudukan kedua-dua penyelam itu ditemui adalah kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

"Daripada maklumat ini kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.

"Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini hari ini.

Katanya berdasarkan kedudukan itu, mangsa terakhir Nathen Renze Chester, 14 warga Belanda yang masih hilang berkemungkinan besar berada tidak lagi berada dalam perairan Malaysia.

"Daripada makluman dua mangsa pagi tadi, sebenarnya mereka diselamatkan dalam perairan Indonesia pada kedudukan 16 batu nautika utara, Pulau Bintan, Indonesia.

"Berdasarkan maklumat ini, dengan keadaan arus, kami berpendapat Nathen (mangsa akhir) ini hanyut di kawasan Indonesia," katanya.

Daripada tiga yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu ditemui selamat oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi tadi di perairan Pengerang berhampiran sempadan perairan Indonesia.

Mereka ialah warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46 dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18.

Seorang lagi penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat pada Khamis di kedudukan 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 3:15 PM