Omar Ahmad

Mersing: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia menghentikan Op Carilamat mayat remaja warga Belanda, Nathan Renze Chester, 14 tahun yang hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada 6 April lalu.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi ditamatkan secara rasmi kira-kira 7 malam, semalam berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Katanya, Pusat Operasi BASARNAS Tanjung Pinang, mengumumkan penutupan operasi setelah tujuh hari pencarian bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia tidak menunjukkan sebarang petunjuk dan penemuan.

"APMM juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu.

"Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara Indonesia itu membabitkan sebuah kapal TNI (Tentera Nasional Indonesia), sebuah kapal dari BAKAMLA (Badan Keamanan Laut Indonesia), POLAIR (Polis Perairan Indonesia) dan sebuah kapal dari BASARNAS.

"MRSC Johor Bahru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diatas kerjasama semua pihak yang terbabit dalam operasi ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BASARNAS dalam Op Carilamat remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14 yang hilang dipercayai ke Perairan Indonesia. FOTO Ihsan APMM
BASARNAS dalam Op Carilamat remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14 yang hilang dipercayai ke Perairan Indonesia. FOTO Ihsan APMM

Pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika melakukan aktiviti latihan selaman Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini dipercayai akibat arus air yang kuat.

Sehubungan itu, Op Carilamat digerakkan membabitkan empat aset udara dan 11 bot pelbagai pihak termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pelbagai agensi.

Terdahulu, Op Carilamat di perairan Mersing ditamatkan jam 1.30 tengah hari, pada 9 April lalu selepas, Adrian Peter Chesters, 46 dan Alexia Alexandria Molina, 18 ditemui pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, di perairan Indonesia oleh nelayan kira-kira 1 pagi.

Adrian Peter turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam iaitu anaknya Nathan meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Nathan yang hilang disyaki hanyut ke perairan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 11:19 AM