GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Selangor masih merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kuala Lumpur mencatatkan penggunaan katil ICU paling tinggi iaitu 60 peratus.

"Manakala Selangor sudah menggunakan 50 peratus daripada keseluruhan 86 katil ICU yang diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi katil bukan ICU pula, katanya, Putrajaya dan Selangor merekodkan penggunaan katil melebihi 50 peratus iaitu masing-masing 66 peratus dan 55 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada negeri yang menunjukkan peratusan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, kadar penggunaan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 157 pesakit dengan peratusan penggunaan alat bantuan itu adalah 18 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Tambah beliau, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, sebanyak 562 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 220 kes membabitkan kategori satu dan dua manakala 342 kes lagi kategori tiga hingga lima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 11:02 AM