GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Empat negeri mencatatkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus dengan Kelantan tertinggi iaitu 78 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil ICU kedua tertinggi ialah Johor (69 peratus) diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (62 peratus), Melaka (54 peratus) manakala Perlis dan Selangor masing-masing merekodkan 45 peratus.

"Bagi katil bukan ICU, terdapat empat negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Perlis sebanyak 114 peratus, Kelantan (108 peratus), Selangor (99 peratus) dan Perak (95 peratus).

"Pengisian katil di Putrajaya pula merekodkan 74 peratus, Johor (72 peratus), Kuala Lumpur (72 peratus), Sabah (70 peratus), Pahang (68 peratus), Terengganu (54 peratus) dan Pulau Pinang (51 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat negeri iaitu Perak (72 peratus), Selangor (70 peratus), Melaka (55 peratus) dan Sabah (51 peratus) menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 180 pesakit.

"Peratusan penggunaan bantuan itu 37 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes jangkitan itu kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnosa pada setiap hari.

Katanya, ia memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Misalnya, ketika didiagnosa mungkin pesakit itu berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih yang memerlukan kemasukan ke hospital.

"Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

"Semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,520 kes dan daripada jumlah itu, 545 kes atau 35.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 975 kes (64.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 11:19 AM