GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di Putrajaya kini mencecah 100 peratus dan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Putrajaya antara tujuh negeri mencatatkan penggunaan katil di wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penggunaan katil ICU kedua tertinggi ialah Perlis (73 peratus), Selangor (61 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Johor (57 peratus), Perak (51 peratus) dan Kelantan (50 peratus).

"Bagi katil bukan ICU, terdapat lima negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Selangor (114 peratus), Perak (98 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (93 peratus) dan Putrajaya (93 peratus).

"Bagi katil bukan ICU melebihi 50 peratus direkodkan di Kelantan iaitu 79 peratus, Pahang (78 peratus), Terengganu (71 peratus), Sarawak (65 peratus), Johor (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) dan Sabah (56 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hanya Melaka menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 211 pesakit.

"Peratusan penggunaan bantuan itu 24 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes jangkitan itu kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnosa pada setiap hari.

Katanya, ia memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

"Semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,997 kes dan daripada jumlah itu, 721 kes atau 36.1 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 1,276 kes (63.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:46 AM