GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil ICU paling tinggi dicatatkan di Kuala Lumpur iaitu 20 daripada 30 katil yang dikhaskan untuk kes Covid-19.

"Selain itu ialah Selangor yang sudah menggunakan 50 peratus daripada keseluruhan 86 katil ICU yang diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19.

"Bagi katil bukan ICU, terdapat dua negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya dengan 81 peratus dan Selangor pula 59 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada negeri yang menunjukkan peratusan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus.

Katanya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula menurun kepada 153 pesakit dengan peratusan penggunaan alat bantuan itu adalah 17 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, 663 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 378 kes membabitkan kategori satu dan dua manakala 285 kes lagi kategori tiga hingga lima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 10:51 AM