GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lima negeri sudah merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Kelantan kini mencecah 94 peratus dan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Melaka merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 71 peratus diikuti Johor (67 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus) dan Putrajaya (50 peratus).

Bagi katil bukan ICU, katanya, terdapat 12 negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.

"Negeri berkenaan adalah Kelantan sebanyak 113 peratus, Selangor (104 peratus), Putrajaya (99 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), Perak (88 peratus), Perlis (75 peratus).

"Selain itu, Pahang sebanyak 71 peratus, Johor (69 peratus), Sabah (64 peratus), Terengganu (61 peratus) dan masing-masing 59 peratus di Sarawak serta Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hanya satu negeri iaitu Melaka menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula meningkat kepada 203 pesakit dan peratusan penggunaan bantuan itu adalah 35 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 10:51 AM