GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Putrajaya merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Putrajaya mencatatkan penggunaan katil ICU sebanyak 100 peratus manakala penggunaan katil bukan ICU pula sudah mencecah 63 peratus.

"Selain Putrajaya, Selangor turut merekodkan penggunaan katil ICU untuk merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 51 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada negeri yang menunjukkan peratusan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, kadar penggunaan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 97 pesakit dengan peratusan penggunaan alat bantuan itu adalah 11 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Beliau berkata, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, sebanyak 394 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 232 kes membabitkan kategori satu dan dua manakala 162 kes lagi kategori tiga hingga lima.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 11:21 AM