Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di Kelantan mencecah 86 peratus dan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Kelantan antara enam negeri mencatatkan penggunaan katil di wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil ICU kedua tertinggi adalah di Johor dengan 59 peratus diikuti Labuan (57 peratus), Kuala Lumpur (54 peratus), Sabah (52 peratus) dan Melaka (50 peratus).

Menurutnya, terdapat enam negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 80 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.

Katanya, ia membabitkan Kelantan (111 peratus), Selangor (108 peratus), Perak (93 peratus), Kuala Lumpur (89 peratus), Putrajaya (86 peratus) dan Perlis (82 peratus).

"Negeri merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus pula adalah Johor dengan 73 peratus, Pahang (68 peratus), Terengganu (58 peratus), Pulau Pinang (57 peratus), Sabah (69 peratus) dan Sarawak (53 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga negeri iaitu Perak, Melaka dan Selangor menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) juga meningkat kepada 201 pesakit dan peratusan penggunaan bantuan itu mencecah 36 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 11:42 AM