Rosli Ilham


Dungun: Sebanyak 31 ekor penyu ditemui mati di negeri ini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, rekod kematian pelbagai spesis penyu itu adalah tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 51 kes kematian penyu direkodkan dan diikuti 55 kes pada 2020, manakala 78 kes pula pada 2019.

"Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kes kematian penyu ini termasuk akibat dipukul gelombang dan ombak pada musim tengkujuh.

"Bila berlaku ombak besar, penyu menjadi lemas kerana tidak mampu naik ke permukaan air untuk mendapatkan udara," katanya sempena pelancaran Bulan Kesedaran Penyu Negeri Terengganu di Rantau Abang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Alias Harun.

Pada program itu, sebanyak tiga ekor penyu sakit yang berjaya dirawat dan kembali sembuh dilepaskan semula ke laut.

RUZAIDI Mamat (tengah) melepaskan semula penyu yang berjaya dirawat. FOTO Rosli Ilham
RUZAIDI Mamat (tengah) melepaskan semula penyu yang berjaya dirawat. FOTO Rosli Ilham

Ruzaidi berkata, selain itu, kematian penyu juga disebabkan aktiviti pukat tunda yang tidak menepati syarat pemasangan peralatan Peranti Penyisih Penyu (TED).

"Kebiasaannya apabila terperangkap dalam pukat, penyu akan mudah untuk keluar, tetapi sekiranya tidak memasang TED, penyu akan terperangkap dalam pukat dan akan mati," katanya.

Katanya, pihaknya mengadakan pelbagai program dan kursus kesedaran dalam memberi kesedaran kepada nelayan dan orang ramai dalam menyelamatkan reptilia itu daripada kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:21 AM