Bangkai penyu agar yang ditemui mati di Pantai Pulau Kapas. FOTO Ihsan RANI AWANG
Bangkai penyu agar yang ditemui mati di Pantai Pulau Kapas. FOTO Ihsan RANI AWANG
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Penggunaan pukat pari didakwa semakin berleluasa di perairan Marang termasuk di Pulau Kapas dan Pantai Rhu Muda, sekali gus menjadi punca lapan penyu agar dan karah ditemui mati di kawasan berkenaan sejak Januari lalu.

Sebelum ini, penduduk menemui tujuh bangkai penyu dan seekor penyu agar betina dianggarkan berusia lebih 30 tahun ditemui mati di Pantai Pulau Kapas, Ahad lalu.

Penduduk Kampung Rhu Muda, Rani Awang, 56, dia sedih apabila kerap menemui bangkai penyu dihanyutkan air dan terdampar di pantai.

"Aktiviti menangkap pari menggunakan pukat pari yang memang salah di sisi undang-undang perlu dihentikan segera dan pihak berkenaan perlu membanteras aktiviti nelayan menggunakan pukat pari di perairan pantai itu.

"Berdasarkan keadaan bangkai penyu ditemui, saya yakin 100 peratus penyu itu mati akibat terperangkap pada pukat pari sebelum dibunuh," katanya.

Menurutnya, tiga penyu agar ditemui mati pada Jun lalu dan dia pernah menemui bangkai penyu yang dibelah perut.

Katanya, nelayan pukat pari itu dipercayai menenggelamkan bangkai penyu dengan mengikat batu pada penyu itu sebelum ia tertanggal daripada ikatan dan terapung sebelum terdampar di pantai apabila sudah reput.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu kematian penyu di perairan Marang termasuk Pulau Kapas itu.

"Kami menjalankan rondaan memantau segala aktiviti nelayan di semua kawasan bagi membendung penggunaan pukat pari dan kesalahan lain.

"Sebenarnya, kematian penyu bukan kerana pukat pari sahaja, tetapi faktor lain seperti terkena kipas bot dan pukat tunda antara penyebab kepada kematian penyu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:59 PM