MPV yang digunakan seorang wanita membawa Pati. (Gambar kecil) Sebahagian Pati berhimpit dalam kenderaan ketika ditahan di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah semalam. Foto Ihsan PGA
MPV yang digunakan seorang wanita membawa Pati. (Gambar kecil) Sebahagian Pati berhimpit dalam kenderaan ketika ditahan di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah semalam. Foto Ihsan PGA
Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Wanita dipercayai seorang tekong darat ditahan pihak berkuasa selepas disyaki menyeludup masuk sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar pagi semalam.

Kesemua warga asing berusia antara 21 hingga 48 itu dimuatkan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish selepas disyaki memasuki sempadan negara secara haram di kawasan Kampung Maskura di sini.

Kenderaan yang dipandu wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kampung Panglima Bayu di sini, oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada 7 pagi.

Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Azhari Nusi berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu ditemukan sembilan Pati terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Kami menahan wanita yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada Pati melalui jalan yang tidak sah.

"Sembilan warga asing itu turut ditahan dan kenderaan serta sembilan unit telefon bimbit dirampas dan dibawa balik ke Balai Polis Bukit Bunga untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 20 Pati warga Myanmar dicekup dalam dua lokasi berasingan di Rantau Panjang dekat sini, malam tadi.

Daripada jumlah itu, 17 orang terdiri daripada remaja berusia 14 hingga 18 tahun dan tiga kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai dibawa masuk menerusi pangkalan haram untuk bekerja di Lembah Klang.

Azhari berkata, kesemua mereka diseludup oleh seorang tekong darat yang juga warga Myanmar dengan lapan pati itu dimuatkan dalam kereta jenis Perodua Myvi sebelum ditahan di Kampung Kedap pada 7.30 malam tadi.

"Kesemua mereka duduk berhimpit dalam kenderaan itu, manakala 11 lagi ditemui dalam belukar di Kampung Tok Deh Darat dan dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini melalui Pangkalan Haram Kertas.

"Remaja dan kanak-kanak dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja di Lembah Klang berikutan pergolakan politik yang berlaku di negara mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:29 PM