GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua kanak-kanak ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika cuba melintasi sempadan secara haram di pangkalan haram Tok Awang Belulang, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata dalam kejadian 9.45 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah bas dalam keadaan mencurigakan diparkir di lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemerhatian, beberapa individu didapati terbabit membawa beg dan bagasi cuba menyeberangi Sungai Golok menggunakan perahu.

"Anggota kemudian mendekati mereka untuk menghalang daripada menyeberangi sungai selain membuat pemeriksaan di dalam bas.

"Pemeriksaan mendapati semua Pati warga Thailand itu mempunyai pas lawatan tamat tempoh selain tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Kami turut menahan pemandu bas dan pembantunya yang berusia 34 dan 30 tahun kerana bertindak sebagai dalang membawa semua Pati berkenaan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua Pati terbabit berkemungkinan mengambil peluang untuk pulang ke negara mereka sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Menurutnya, semua tangkapan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan serta siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63.

Dalam perkembangan lain, PGA7 turut merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM10,346 di pangkalan haram Pok Nik, di sini, 6 petang semalam.

Azhari berkata, anggotanya terserempak seorang lelaki warga tempatan sedang memunggah kotak dari belakang sebuah rumah ke dalam kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kemudian menghampiri suspek berusia 26 tahun serta memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum membuat pemeriksaan dan menemui kesemua mercun dipercayai untuk pasaran tempatan sempena Aidilfitri.

"Suspek ditahan manakala mercun dirampas untuk dibawa ke IPD Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 (mercun)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 3:56 PM