ANTARA PATI yang ditahan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di pangkalan haram di sekitar Bakong. FOTO Ihsan PGA7
ANTARA PATI yang ditahan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di pangkalan haram di sekitar Bakong. FOTO Ihsan PGA7
Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua wanita yang bersesak dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ditahan dalam operasi di pangkalan haram di sekitar Bakong, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas selepas menerima maklumat.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai sebagai 'transporter' yang mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap Pati.

Menurutnya, sebelum ditahan, pihaknya membuat rondaan dan menahan Toyota Alphard berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika proses penahanan, kenderaan itu terbabas dan mengalami sedikit kerosakan dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada ditahan.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati 15 Pati warga Myanmar termasuk 13 lelaki berusia 14 hingga 43 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan dan penumpang belakang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Bakong.

Menurutnya, kesemua Pati berkenaan dalam perjalanan ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan bangunan.

"Toyota Alphard dan sebuah telefon bimbit masing-masing bernilai RM70,000 serta RM1,000 dirampas.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 4:19 PM