Van yang digunakan dua tekong untuk membawa tu tujuh PATI warga Thailand. FOTO
Van yang digunakan dua tekong untuk membawa tu tujuh PATI warga Thailand. FOTO
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan dua tekong membawa masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini membawa padah apabila ditahan dalam operasi di Jalan Lubong Gong, di sini, semalam.

Serbuan pada 6 petang dilakukan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika melakukan rondaan.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota yang meronda terserempak dengan sebuah van berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, mereka kemudian menghampiri kenderaan terbabit dan meminta pemandu berhenti serta memperkenalkan diri bagi membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemukan pemandu dan kelindan berusia 45 dan 42 tahun dipercayai tekong bersama tujuh penumpang dipercayai Pati berusia 21 sehingga 58 tahun.

"Siasatan mendapati pasport atau pas lawatan kesemua warga Thailand itu tamat tempoh dan mereka dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok.

"Anggota kemudian membawa kesemua tahanan ke Balai Polis Rantau Panjng untuk siasatan mengikut Seksyen 26J Atipsom 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi lain, Azhari berkata, pihaknya merampas ubat batuk, air dan daun ketum bernilai RM685 di sebuah rumah di Kampung Gual To'Deh, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai pemilik barangan terlarang berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 1:58 PM