LAPAN individu termasuk lima Pati berhimpit dalam kereta Proton Wira yang ditahan semalam. FOTO Ihsan PGA.
LAPAN individu termasuk lima Pati berhimpit dalam kereta Proton Wira yang ditahan semalam. FOTO Ihsan PGA.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Ejen wanita dan dua tekong darat warga tempatan yang menjadi dalang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) diberkas pihak berkuasa ketika sedang membawa lima lelaki Thailand semalam.

Malah, semua mereka sanggup berhimpit dalam sebuah kenderaan sebaik Pati berusia antara 28 hingga 33 tahun itu berjaya menyelinap masuk melalui pangkalan haram, di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya yang dalam penugasan sempena Op Benteng pada 6.30 petang ternampak kereta jenis Proton Wira dari arah Kampung Simpangan menghala ke Kampung Jubakar, di sini.

"Kenderaan itu ditahan di sekatan pintas di Simpangan selepas dilihat mencurigakan, namun pemandunya memecut laju dan memaksa anggota lain mengejarnya.

"Kereta itu berjaya ditahan tidak lama kemudian dan pemeriksaan mendapati terdapat dua individu iaitu ejen wanita dan tekong darat di tempat duduk penumpang hadapan, manakala di tempat duduk belakang pula ada lima lelaki Thailand dalam keadaan berhimpit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, wanita tempatan yang berusia 24 tahun itu disyaki ejen bagi Thailand, manakala dua lagi lelaki berusia 20 dan 24 tahun adalah tekong sebelah Malaysia.

Menurutnya lagi, semua Pati itu masuk melalui pengkalan haram Kak Yah di Pengkalan Kubor di sini dan dipercayai hendak ke Endau, Johor untuk bekerja sebagai nelayan seperti sebelum ini ketika berada di Kuantan, Pahang.

"Kenderaan serta dua telefon bimbit dirampas dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM10,850.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2012 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 12:06 PM